Titah Agong sarat pesanan, Ahli Parlimen harus jadikan panduan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, titah sulung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini sarat dengan pesanan untuk diamati, diperhalusi dan dijadikan panduan oleh semua Ahli Parlimen.

“Insya-Allah, saya bersama-sama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seluruh barisan Ahli Parlimen kerajaan telah bersedia sepenuhnya untuk sesi perbahasan Titah Diraja bermula esok dan akan memberikan komitmen yang tinggi pada sidang Parlimen kali ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 menzahirkan peringatan, nasihat serta pandangan dalam pelbagai perkara.

Antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara serta kestabilan politik.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen sulung oleh Sultan Ibrahim sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

BACA JUGA Agong tegur pihak yang gagal kuasai bahasa kebangsaan, fahami budaya kaum lain