Jumlah pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah negara, 85 peratus dapat jadi kenyataan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan 85 peratus pelaburan diluluskan akan direalisasikan.

Menurutnya, ia merangkumi pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI) dengan kebiasaannya akan mengambil masa satu hingga tiga tahun untuk direalisasikan.

Tengku Zafrul tampil memberi penjelasan bagi mengelak kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang, khususnya berkaitan ‘net FDI inflow’ atau aliran masuk bersih FDI.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan negara mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022 iaitu jumlah yang tertinggi dalam sejarah.

Zafrul berkata, ‘net FDI inflow’ atau aliran masuk bersih FDI dengan pelaburan diluluskan mempunyai perbezaan walaupun nampak sama.

“Sebenarnya kedua-dua perkara ini ‘sama tapi tak serupa’ macam kita nak bandingkan pisang dengan durian. Kedua-duanya adalah buah tapi ciri-cirinya berbeza.

“Pelaburan diluluskan ialah petunjuk keyakinan pelabur kepada prospek ekonomi Negara.

“Mengapa? Kerana pelaburan ini akan makan masa panjang untuk hasilkan keuntungan.

“Jadi, kalau pelabur tak yakin dengan prospek ekonomi negara kita, mereka tak akan berani melabur, baik cari negara lain,” jelasnya menerusi video yang dikongsikan di platform media sosial rasmi miliknya.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui tidak semua pelaburan diluluskan akan direalisasikan.

“Tapi kalau kita tengok statistik, 85 peratus pelaburan diluluskan akan direalisasikan.

“Jadi, kalau pelaburan diluluskan itu lebih tinggi. Maknanya, kebarangkalian untuk lebih banyak pelaburan direalisasikan juga lebih tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan pelaburan yang diluluskan tidak hanya tertumpu kepada FDI semata-mata, ia turut mengambil kira pelaburan langsung domestik atau DDI.

“Pelaburan domestik juga penting, contohnya daripada RM329.5 bilion pelaburan yang diluluskan tahun lalu, hampir separuh iaitu sebanyak 43 peratus adalah pelaburan domestik.

“Pelaburan domestik yang diluluskan sebenarnya naik 35 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan keyakinan pelabur tempatan kepada ekonomi negara,” kata Zafrul lagi.

BACA JUGA RM329.5 bilion: Jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah Malaysia