Kelaparan sedang membunuh, warga Gaza terpaksa sembelih kuda dan makan rumput

Seorang bayi di Gaza berusia hanya 45 hari meninggal dunia akibat dehidrasi dan kekurangan nutrisi yang teruk.

Lapor MyAqsa Defenders, Muhammad Fattouh tidak minum susu selama beberapa hari akibat kekurangan makanan di utara Gaza.

Fattouh antara penduduk Gaza yang masih terselamat daripada genosid dan pengeboman tanpa henti oleh Zionis Israel.

Namun, mereka berdepan dengan krisis kelaparan sehingga ada antara penduduk terpaksa menyembelih kuda, makan rumput dan dedak ternakan demi kelangsungan hidup.

Di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, Abu Jibril menceritakan keadaan sukar itu sehingga memaksanya menyembelih dua ekor kuda miliknya untuk diberi kepada ahli keluarga.

“Kami tidak punya pilihan lain selain menyembelih kuda untuk memberi makan anak-anak.

“Kelaparan membunuh kami,” kata lelaki berusia 60 tahun itu kepada AFP seperti dipetik WAFA.

Tanpa memberitahu sesiapa mengenai daging kuda itu, Abu Jibril memasak sebelum menghidangnya kepada keluarga dan jiran-jiran.

“Walaupun perlu, tapi saya bimbang akan reaksi mereka. Tiada siapa tahu mereka makan daging kuda,” katanya.

Kem Jabalia, yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan meliputi kawasan seluas hanya 1.4 kilometer, adalah yang terbesar di Semenanjung Gaza.

Jibril dan keluarganya melarikan diri dari Beit Hanoun apabila pencerobohan Israel terhadap Gaza bermula dan berlindung di Sekolah UNRWA Al-Faluga.

Sebelum pencerobohan, air tercemar dan gangguan bekalan elektrik menjadi masalah utama di kem yang padat penduduk itu.

Kini, keadaan diburukkan lagi dengan masalah kehabisan bekalan makanan kerana agensi bantuan tiada akses ke kawasan berkenaan akibat pengeboman.

Penghuni kem mulai memakan sisa-sisa jagung membusuk, dedak ternakan selain rumput bagi menghilangkan rasa lapar.

Minggu lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kini semakin bahaya dengan “tahap putus asa yang tidak pernah berlaku sebelum ini”.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 2.2 juta orang berada di ambang kebuluran.

Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) pula memberi amaran bahawa kekurangan makanan yang membimbangkan selain peningkatan kekurangan zat makanan dan penyakit boleh membawa kepada “ledakan” kematian dalam kalangan kanak-kanak di Gaza.

BACA JUGA Menghampiri Ramadan sudah lebih 29,600 penduduk Palestin terkorban