Isu Nik Elin: Azli Yusof bahasakan pembangkang di Dewan Rakyat

Azli Yusof (PH-Shah Alam) menegur pihak pembangkang yang sewenang-wenangnya mentafsir isu Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelantan sehingga mengundang kepada polemik tidak perlu.

Beliau ketika mencadangkan usul menjunjung kasih Titah Diraja berkata, adalah malang apabila ada ahli politik, pihak berkepentingan dan orang ramai yang tidak mempunyai ilmu perundangan, membuat pelbagai ulasan yang tidak tepat berkenaan isu tersebut.

Menurutnya, gelaran-gelaran seperti ‘Black Friday’ yang dimomokkan pembangkang hanyalah cubaan untuk meraih politik murahan.

Beliau sempat menegaskan di Parlimen semalam, isu Nik Elin adalah isu yang melibatkan Perlembagaan persekutuan dan sama sekali tidak meruntuhkan Enakmen Kanun Syariah Jenayah yang wujud di negeri-negeri.

“Keputusan penghakiman kes Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin tiba-tiba membuka mata semua rakyat Malaysia.

“Dari yang pakar dalam bidang undang-undang hingga kepada peniaga, pengusaha sawah dan ladang. Ramai yang mengulas seakan-akan mahir segalanya.

“Tidak kurang yang mengambil kesempatan untuk meraih politik murahan. Semua bercakap seolah-olah Islam telah hilang dari bumi Malaysia.

“Natijahnya ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan,” katanya dalam sidang Parlimen semalam.

Isu Nik Elin

Azli pada masa sama turut menyinggung pihak yang penuh yakin mengatakan bahawa selepas ini 16 kesalahan jenayah syariah yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan, boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh orang ramai selepas ini.

Beliau menegaskan bahawa ia adalah perkara yang tidak tepat kerana kesalahan-kesalahan jenayah tersebut telah dikuatkuasakan dalam Kanun Keseksaan Jenayah Perlembagaan Persekutuan.

Sebab itu katanya, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah menasihati semua pihak agar menghormati keputusan mahkamah Persekutuan dan tidak mempolemikkannya sehingga menimbulkan persengketaan.

Azli menyifatkan kes Nik Elin ini secara tidak langsung telah membuka mata ramai pihak dan dengan itu ia boleh menjadi pemangkin untuk menyegerakan usaha pemerkasaan Enakmen sedia ada.

“Ia boleh membuka ruang dan peluang agar Enakmen Kanun Syariah Jenayah negeri-negeri diharmonikan dengan Senarai Persekutuan.

“Adakah ini bermakna kita bersetuju dengan tindakan Nik Elin Zurina? Tidak semestinya. Kerana ada jalan yang lebih lunak dan aman boleh diambil untuk harmonikan pertindihan.

“Sebab itu saya katakan Isu Nik Elin ini secara tidak sengaja telah membuka mata banyak pihak untuk memperkasa, memadamkan kekaburan (ambiguity) dan mengharmonikan Enakmen Syariah Jenayah di negara ini,” ujarnya,

Yang penting kata Azli, kekeliruan yang timbul hanyalah melibatkan kesalahan-kesalahan yang menjurus kepada hukuman takzir yang terletak dibahu pemerintah untuk melaksanakannya.

Ia tidak sama sekali terkait dengan kesalahan-kesalahan yang melibatkan hukuman hudud atau qisas dinyatakan secara jelas dalam al-Quran.

BACA JUGA Tiada kompromi terhadap rasuah, dicadang jadi agenda bersama Bersih dan kerajaan