Tiada kompromi terhadap rasuah, dicadang jadi agenda bersama Bersih dan kerajaan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dicadangkan menjadikan pendirian tiada kompromi terhadap rasuah sebagai agenda bersama dengan kerajaan.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, agenda bersama itu demi memastikan tuntutan yang adil.

“Pemuda PKR menggesa Bersih membantu kerajaan Madani dalam melaksanakan agenda reformasi bersama.

“Tuntutan yang adil tetapi terlebih dahulu mesti ada agenda bersama di kedua-dua pihak, contohnya tiada kompromi terhadap rasuah.

Not only talk but walk the talk,” kata bekas Ahli Parlimen Sepang berkenaan menerusi Facebook.

Semalam, Pemuda PKR yang dikenali sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Bersih untuk turut membantu Putrajaya ke arah mencapai matlamat bersama.

Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi berkata, pihaknya yakin Bersih perlu menyokong usaha kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

“Kami menyeru pihak Bersih untuk tidak hanya terhenti setakat berhimpun untuk menuntut, sebaliknya juga bersedia menghulurkan tangan membantu kerajaan untuk mencapai pelaksanaan agenda reformasi bersama-sama bagai aur dengan tebing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Bersih dalam satu kenyataan menuntut kerajaan menunjukkan komitmen dengan menyediakan hala tuju dan garis masa yang jelas menggariskan agenda reformasi pilihan raya dan institusi.

Perhimpunan #Reformasi100Peratus di pekarangan Tugu Negara di Kuala Lumpur pagi semalam menyaksikan mereka berarak menuju ke Parlimen.

Kumpulan berbaju hitam dan kuning itu antara lain menggesa had penggal bagi Perdana Menteri, perlindungan pemberi maklumat yang dipertingkatkan dan semakan semula Akta Hasutan.

BACA JUGA AMK kena kutuk buat ‘trip’ ke Hatyai, Adam Adli perjelas apa yang berlaku