Isu padi dan beras: ‘Kita tidak boleh bertindak silo’ – Mohamad

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk mendapatkan pandangan sebelum memuktamadkan sebarang cadangan.

“Isu padi dan beras, kita tidak boleh bertindak silo, bukan saja KPKM, ia mesti dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, kerana sebarang pengumuman itu bersangkut dengan beberapa kementerian lain.

“Sebab itu bila kita nak buat sesuatau macam apungkan harga ayam, kita berbincang termasuk dengan penternak, pengedar, penjual dan akhirnya baru diumumkan kita apungkan harga ayam.

“Jadi, semua pihak dalam pengetahuan mereka.

“Begitu juga dengan harga beras, ia lebih rumit kerana bersangkut dengan beras import, beras putih import, beras putih tempatan, beras beriani (basmati) dan sebagainya,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada media selepas menghadiri Simposium Peladang Muda Nasional 2024 Sempena Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ke-51 di Bangi malam tadi.

Beliau dalam masa berkata, kementeriannya optimis dapat mengemukakan cadangan dan perincian bagi mencari penyelesaian isu padi dan beras negara pada 20 Mac ini seperti yang diarahkan Perdana Menteri.

Menurutnya, KPKM akan mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi terlibat terlebih dahulu.

Ini disusuli dengan turun ke bawah untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti pesawah, pengilang dan sebagainya.

“Ada yang tanya, adakah selesai segala-galanyanya 20 Mac ini? Tidak, ini langkah awal dan kita akan lihat dari pelbagai aspek,” katanya.

Pada 23 Februari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan telah meminta KPKM untuk mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

Beliau berkata libat urus berkenaan perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

Anwar kemudiannya pada 25 Februari lalu juga berkata, KPKM dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh hingga 20 Mac untuk memuktamadkan isu berkaitan harga padi dan beras.

BACA JUGA Infrastruktur air jamin peningkatan hasil padi