Pemikiran takfiri berpunca dari meja-meja kuliah, mimbar khutbah, dakwa MP

Seorang ahli Parlimen kerajaan mendakwa suhu politik negara semakin membahang disebabkan ada pihak yang gemar mempolemikkan isu agama dan bangsa, sehingga ke tahap mempertikaikan perlembagaan negara.

Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata, beliau akui bahawa perlembagaan bukan kitab suci, tetapi perlembagaan adalah kontrak sosial atau syurut yang perlu dipertahankan.

“Pelanggaran terhadap dokumen asas sebuah negara akan menyebabkan kita berpolemik.

“Sekiranya pula polemik itu ditangani dengan ‘kepala keras’ ala neo-khawarij, maka negara kita sedang dialurkan kearah zon yang amat berbahaya.

“Isu bangsa dan agama sekiranya diapi-apikan akan menyebabkan lahirnya golongan yang terlajak,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Azli memberi contoh, kes Nik Elin telah ‘dibakar’ di luar dari hakikat yang sebenar, dan natijahnya pemikiran takfiri mula merebak dalam masyarakat.

Beliau mendakwa pemikiran takfiri ini “berpunca dari meja-meja kuliah di mana ada sebahagian tempat ia dilaungkan dari mimbar khutbah”.

Kata Azli, dalam kempen politik ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, pemikiran anti perbezaan dan memonopoli kebenaran nampaknya telah melebar.

“Dakwaan undi PH-BN masuk neraka, ‘kita sedang berdepan dengan musuh Islam’, ‘negara kita dah nak diambil orang’ adalah bibit-bibit pemikiran khawarij yang bertunas dalam negara ini.

“Kita amat bimbang sekiranya ia tidak ditangani oleh pihak kerajaan, golongan ‘terlebih lajak dari laju’ akan makin menganas.

“Apa yang kita takutkan akan berlaku di negara ini akan mula tercetus,” ujarnya.

Susulan itu, Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) bangkit mencelah dan meminta agar Azli membuktikan sekiranya memang benar ada khutbah-khutbah yang menyelitkan soal takfiri.

“Shah Alam membangkitkan kebimbangan yang boleh diterima. Namun khutbah dirangka teksnya oleh majlis agama masing-masing. Bagaimana Shah Alam boleh membuktikan bahawa ada khutbah Jumaat yang digunakan sebagai medan takfiri,” soalnya.

Menjawab hal itu, Azli berkata kata-katanya telah dibuktikan dalam hansard sebelum ini dan bersedia untuk menunjukkan semula kepada ahli Parlimen Pas itu.

BACA JUGA Isu Nik Elin: Azli Yusof bahasakan pembangkang di Dewan Rakyat