Semua senarai nama dalam Kertas Pandora sedang disiasat SPRM

Semua senarai nama yang terkandung dalam Kertas Pandora sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, terdapat juga siasatan yang tidak diketahui oleh umum.

“Bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [Akta 694] yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan.

“Mana-mana siasatan juga tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dituduh di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis seperti terpapar dalam laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata, SPRM bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan dalam mengendalikan siasatan.

“SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak luar,” katanya.

Azalina berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengapa 12 individu yang disebut dalam Kertas Pandora termasuk beberapa pemimpin dalam Kabinet Kerajaan MADANI tidak disiasat.

Dakwa Hamzah lagi, siaatan hanya memberi tumpuan kepada tokoh yang dilihat mesra kepada pembangkang.

Mengulas lanjut isu sama, Azalina menjelaskan kualiti maklumat dan dokumen diperoleh diutamakan untuk penyiasatan bagi tindakan pembuktian kes oleh SPRM.

Jelasnya, satu pasukan khas juga ditubuhkan membabitkan koordinasi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (FSA).

“Ia bertujuan menganalisa identiti nama-nama yang tersenarai dalam pendedahan Kertas Pandora oleh International Consortium of Investigation Journalist (ICIJ), ” kata Azalina lagi.

Untuk rekod, kertas Pandora merujuk jutaan dokumen bocor yang didedahkan kepada umum dan menggemparkan dunia pada 2021.

Senarai itu didakwa mendedahkan akaun luar pesisir pemimpin masa kini dan masa lalu dari seluruh dunia, termasuk presiden, perdana menteri, bilionair dan ahli perniagaan terkemuka.

BACA JUGA Kertas Pandora: SPRM siasat, dakwa berdasarkan bukti dan fakta