Speaker naik angin, arah Wan Saiful tarik tuduhan “orang korup mengadap Tuanku setiap minggu”

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menimbulkan kekecohan ketika sidang Parlimen tengah hari ini apabila membuat tuduhan yang keterlaluan terhadap kerajaan.

Beliau mendakwa orang yang korup dengan maksud telah menyalahgunakan kuasa adalah individu yang mengadap Tuanku Yang di-Pertuan Agong setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet bermula.

“Kita kena ingat Tuanku ada sebut bahawa baginda akan memburu semua orang yang korup. Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa.

“Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan mengadap Tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet,” dakwa Wan Saiful.

Perkara tersebut menimbulkan ketegangan Dewan Rakyat dengan ahli-ahli Parlimen kerajaan bangkit mendakwa kenyataan Wan Saiful itu merupakan tuduhan serius terhadap Kerajaan Perpaduan.

Mereka juga mendakwa ia adalah kenyataan kurang ajar yang memesongkan Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul juga dengan tegas mengarahkan agar MP Perikatan Nasional (PN) itu menarik balik tuduhan yang dibuat tanpa bukti.

“Tasek Gelugor, that is very very very uncanted statement. Saya bagi warning sekarang tarik balik sebab untuk menuduh orang korup dalam keadaan yang you tak ada bukti. I am warning you now! Tarik balik!

“Tarik balik satu! Tarik balik dua!”

Wan Saiful: Boleh saya ubah ayat saya tadi Speaker?

“Tak mahu ubah. Tarik balik perkataan tadi (pasal) korup. ‘Orang yang korup akan jumpa dengan Tuanku’. tarik balik”.

Wan Saiful: Ok, ok saya tarik balik.

Terdahulu, Dewan Rakyat berlangsung dengan pertikaman lidah beberapa wakil rakyat susulan dakwaan Wan Saiful mendakwa diugut dan ditawar ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Bersatu itu mendakwa ugutan dibuat sejak beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas kes pengubahan wang haram pada tahun lalu.

Dakwanya, beliau telah dihubungi seseorang yang tidak dinamakan untuk mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung kali pertama pada 17 Jan lalu dan terbaru selepas istiadat perasmian Parlimen, Isnin lalu.

Wan Saiful mendakwa, sekiranya dia menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya.

Speaker bagaimanapun meminta Wan Saiful untuk tidak meneruskan dakwaannya itu di Dewan Rakyat.

BACA JUGA Pemikiran takfiri berpunca dari meja-meja kuliah, mimbar khutbah, dakwa MP