MP DAP dakwa MMC lengahkan usaha lahirkan lebih ramai pakar bedah

Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee Chuan How mendakwa, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada ketika ini kelihatan seperti menggunakan Akta Perubatan 1971 (dipinda tahun 2012; berkuatkuasa tahun 2017) untuk menyekat Laluan Sejajar untuk menghasilkan lebih ramai pakar bedah jantung di negara ini.

Dalam satu kenyataannya, Lee mendakwa, ketika negara menghadapi krisis kekurangan pakar bedah, kita sedang menyaksikan satu usaha untuk memperlahankan perkembangan keupayaan kesihatan dalam negara kita.

“Hal ini sememangnya menjejaskan kebajikan warga kita, memperjudikan nasib mereka yang rentan,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, jika ini adalah isunya yang membelenggu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), maka Ipoh Timor sokong semua usaha KKM untuk memperkasakan semula latihan Laluan Sejajar seterusnya membolehkan pendaftaran pakar ke dalam National Specialist Register (NSR) supaya isu kekurangan pakar bedah boleh ditangani.

Beliau juga menggesa supaya perancangan Pusat Kardiotorasik di Tingkat 5, Blok Baharu Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), Ipoh dilaksanakan secara segera bagi memenuhi keperluan pakar jantung di Perak.

Menurut Lee, pejabat beliau kerap menerima permohonan-permohonan bantuan kewangan daripada warga-warga Ipoh Timor yang terpaksa menggagahkan diri mendapatkan rawatan kardiotorasik di Pulau Pinang, Serdang ataupun Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Pengurusan untuk mendapatkan rawatan jauh ke luar negeri membabitkan kos pengangkutan, dan penginapan, masa, berdepan dengan risiko keselamatan serta tekanan mental.

“Warga tua yang tersayang, contohnya, pertama kali mengharungi kesibukan Kuala Lumpur, menggunakan bas dan MRT, semata-mata untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya ada anak-anak yang mahu menolong hantarkan ke sana, mereka pula harus mendapatkan cuti.

“Jika kecemasan, bagaimana perlu mereka berdepan dengan cabaran-cabaran tersebut?” tanya beliau.

Katanya, hal yang demikian terjadi kerana di Bandaraya Ipoh, penduduknya tidak cukup bertuah untuk memiliki pusat kardiotorasik sendiri.

Katanya, tempat dan infrastruktur untuk sebuah pusat kardiotorasik di Bandaraya Ipoh sebenarnya sudah pun dalam perancangan.

KKM dan EPU, katanya, telah pun membuat lawatan tapak di Tingkat 5, HRPB Ipoh, Perak.

Namun, katanya, sehingga setakat ini, mereka belum dimaklumkan apa-apa lagi tentang perkembangannya yang terkini, yang mana menjurus kepada persoalan-persoalan lain yang lebih kritikal.

“Perlu ditanyakan apakah puncanya keterlewatan ini yang semakin hari semakin menggusarkan para pesakit kardiotorasik serta ahli keluarga yang terdekat.

“Adakah peruntukan tidak mencukupi untuk penubuhannya? Adakah sistem kesihatan kita ini sedang menghadapi kekurangan pakar bedah kardiotorasik?

“Sekiranya itu menjadi punca utamanya, mengapa seolah-olah wujudnya sekatan yang sedang memperlahankan pentauliahan dan pengiktirafan pakar bedah?” tanya beliau.

Pengiktirafan sebagai pakar bedah kardiotorasik diperolehi melalui dua laluan.

Laluan pertama: latihan berstruktur KKM melalui Laluan Sejajar (Parallel Pathway) di hospital dan diuji serta ditauliah oleh badan bertaraf antarabangsa.

Laluan ini telah digunakan bertahun-tahun di Malaysia dan ia menjamin para pengamal untuk mendapat peluang kerjaya dengan mudah di seluruh dunia.

Laluan kedua: pengiktirafan daripada universiti tempatan melalui program pasca-ijazah, katanya.

BACA JUGA Bagaimana 4,000 pesakit baru nak masuk IJN jika yang dah stabil tak discaj?