Bendung kecurangan pemikiran ala Khawarij dalam kalangan anak muda

AMANAH bimbang dengan kenyataan demi kenyataan Presiden Pas mutakhir ini yang menyentuh sentimen perkauman dan agama hingga menjurus kepada bibit-bibit perpecahan dalam kalangan orang Melayu Islam.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhamad Faiz Fadzil berkata, hakikatnya Islam terus subur di negara ini walaupun Presiden Pas terus menerus cuba menyalahkan Perlembagaan Persekutuan bagi membangkitkan kebencian dalam kalangan umat Melayu Islam.

“Menjadi tugas hakiki pihak berkuasa untuk membendung kecurangan pemikiran ala Khawarij ini daripada menebal di kalangan umum terutama generasi muda.

“AMANAH menegaskan bahawa kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam perlu dipelihara dan di mana kedudukan Islam sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah pun terjamin,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut susulan rasa amat dukacita Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kenyataan Abdul Hadi yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

“Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari,” katanya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, AMANAH menyeru semua pihak untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin perpaduan dalam kalangan rakyat dan kestabilan negara.

“AMANAH juga menasihatkan semua pihak untuk menggunakan kaedah dakwah dengan hikmah yang dianjurkan Islam dan mengelak sebarang bentuk ekstremisme dan provokasi,” kata Faiz lagi.

Abdul Hadi menerusi siri tulisannya, Minda Presiden pada 20 Februari lalu mengingatkan penganut Islam termasuk raja-raja supaya “berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja”.

Dalam tulisan panjang bertajuk, “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” itu, Hadi juga berpendapat, “kita” tidak harus “terikat dan dikongkong” dengan Perlembagaan Persekutuan.

BACA JUGA Pas beri peringatan termasuk kepada raja-raja, anggap Perlembagaan ada banyak ‘bom jangka’