Jualan Agro Madani tarik 62,000 pengguna

Program Jualan Agro Madani (JAM) di Pahang tahun lalu membabitkan lebih 6,000 usahawan dan menarik kehadiran kira-kira 62,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, berkata sebanyak 362 program JAM diadakan tahun lalu.

Bagi tahun ini pula, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang akan mengadakan 310 program JAM dalam tempoh sembilan bulan pertama.

Amizar berkata, pada masa ini terdapat lebih 3,666 usahawan berdaftar dengan FAMA.

Mereka terbabit dengan aktiviti pasar tani, industri asas tani, ladang kontrak, peruncitan, pemasaran digital (AgroBazaar Online) dan usahawan muda.

Menurutnya, FAMA tahun ini menambah peluang perniagaan kepada 583 usahawan dengan sebanyak 21 ruang perniagaan sedia ada.

Pihak FAMA juga jelasnya menambah tiga lagi pasar tani serta pasar tani kekal, termasuk pusat pentadbiran FAMA daerah.

“Kita berharap masyarakat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan asas terpilih yang dijual setiap kali JAM diadakan di setiap daerah di negeri ini.

“Selain menyediakan produk segar dan barangan kawalan, kita menawarkan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat,” dipetik BH.

Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 70 program JAM telah diadakan.

Jelasnya, program julung kali diadakan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertujuan mengetengahkan anggota beruniform itu dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat di luar bidang tugas utama mereka.

Tahun lalu, program sama diadakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kem Batu 10, di Kuantan.

BACA JUGA Dah selesai kes kenderaan rasmi menteri ekori rapat ambulans