Menteri arah praktik PINTAR, demi pastikan peningkatan produktiviti agromakanan dicapai

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengarahkan warga kementeriannya untuk mengaplikasikan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR).

Beliau berkata, arahan tersebut bertujuan memastikan peningkatan produktiviti dan kelestarian sektor agromakanan negara dapat dicapai.

”Ketika ini negara sedang berdepan dengan situasi geopolitik dan ekonomi dunia yang cukup mencabar.

”Cabaran itu terutamanya melibatkan perubahan iklim yang tidak menentu sehingga menjejaskan hasil pertanian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet yang diadakan di Wisma Tani, Putrajaya.

Dalam mesyuarat itu katanya, beliau turut membincangkan mengenai industri padi dan beras negara bersama warga kementeriannya.

Beliau berkata, pihaknya dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) telah diberikan tempoh sehingga 20 Mac ini untuk memuktamadkan isu harga padi dan beras.

”Cadangan akan diangkat kepada Perdana Menteri dengan mengambil kira kesan terhadap semua sektor yang terlibat termasuk rakyat,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

BACA JUGA ‘Hal makanan tolonglah, jangan main politik’ – Mohamad Sabu