Semua media laporkan kekecewaan Sultan Selangor terhadap Hadi
Semua akhbar arus perdana hari ini melaporkan kekecewaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Berita Harian dan Sinar Harian menggunakan tajuk sama, “Sultan Selangor dukacita kenyataan Hadi”
Sementara itu, kenyataan sinis Hadi itu juga dilapor dalam The Star dengan tajuk “Hadi slammed for being ‘insolent’” (Hadi diselar kerana ‘kurang ajar’).
Turut melaporkan kenyataan biadab Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu, The New Straits Times dengan tajuk, “Ruler saddened by Hadi’s post“.
Terdahulu, Hadi menerusi siri Minda Presiden pada 20 Februari lalu memberi peringatan kepada penganut Islam termasuk raja-raja “supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja.”
Hadi turut mengkritik hakim yang dianggapnya gagal mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar.
Dakwanya lagi, Perlembagaan Persekutuan “memiliki banyak bom jangka” serta digubal oleh penjajah mengikut acuan mereka dengan tujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air.
Ekoran kebiadaban Hadi itu, Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, berkata Sultan Selangor menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri, bertarikh 27 Februari.
Antara inti pati surat itu ialah Sultan Selangor menyifatkan Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda pada mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari lalu.
BACA JUGA Pas beri peringatan termasuk kepada raja-raja, anggap Perlembagaan ada banyak ‘bom jangka’