Kerajaan akan tubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig

Kerajaan MADANI akan menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig.

Penubuhan suruhanjaya itu penting memandangkan pada masa ini pekerja gig sudah mencecah 1.12 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keutamaan suruhanjaya itu untuk memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya.

“Langkah ini diambil kerana majoriti besar belia Bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig.

“Namun, sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak mempunyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial,” katanya.

Anwar berkata demikian berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Sebelum ini, kerajaan antara lain dilapor sedang mengkaji perundangan khusus untuk memastikan kebajikan pekerja ekonomi gig dilindungi.

Hal ini memandangkan kebanyakan pekerja sektor itu tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dilaporkan, kira-kira 70 peratus pekerja gig pada masa ini menjadikan pekerjaan tersebut sebagai pekerjaan utama.

LANJUT MENYUSUL

BACA JUGA Kerajaan teliti kaedah pastikan pekerja ekonomi gig mencarum KWSP