Kerajaan tambah baik Skim Perubatan Madani, tidak had akses pesakit

Penambahbaikan Skim Perubatan Madani (SPM) tidak bertujuan mengehadkan akses pesakit kepada penjagaan perubatan.

Sebaliknya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, penelitian semula skim berkenaan adalah lebih kepada memastikan penggunaan sumber optimum untuk meningkatkan keberkesanan dan kemampanan projek itu.

Beliau berkata, dalam perbincangan berterusan mengenai usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menambah baik skim itu, fokus utama adalah kepada kapasiti kewangan dalam mengekalkan pelaksanaan di seluruh negara.

Walau bagaimanapun katanya, KKM mendorong perspektif lebih halus bagi memberikan pertimbangan terhadap objektif asal skim itu dan inisiatif peningkatan penjagaan kesihatan yang lebih luas dilaksanakan secara serentak kementerian itu.

“Kebanyakan klinik kesihatan seluruh negara telah meningkatkan kapasiti perkhidmatan waktu tambahan sedia ada beroperasi sehingga 9.30 malam pada hari biasa dan daripada 9 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu.

“Enam klinik kesihatan yang terpilih turut menyediakan perkhidmatan setengah hari tambahan pada hari Ahad dan cuti umum berdasarkan projek Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).

“Pada masa sama, KKM telah menambah baik perkhidmatan Jabatan Kecemasan hospital dengan memobilisasikan kakitangan perubatan secara strategik untuk memantapkan tenaga kerja di jabatan kecemasan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut memaklumkan bahawa pemilihan daerah untuk pelaksanaan skim itu juga akan mencerminkan pengagihan sumber yang adil tanpa meminggirkan negeri-negeri separa bandar termasuk di Pantai Timur, utara dan timur Malaysia.

BACA JUGA Skim Perubatan MADANI (SPM): Ini penerangan yang cukup jelas, pembangkang tak perlu acah bimbang