Rakyat B40 tenang saja, biar kerajaan kenakan cukai progresif

Asas cukai Malaysia masih rendah, iaitu kira-kira 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Negara jiran seperti Singapura dan Thailand pula masing-masing sudah mencecah 12.6 peratus dan 16.4 peratus.

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 semalam berkata, jumlah pembayar cukai juga masih rendah.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembayar cukai di negara ini hanya kira-kira 435,000 daripada 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia.

Ini bermakna kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar di Malaysia membayar cukai.

Pengamal undang-undang, Liyana Marzuki berharap kerajaan akan mengenakan cukai progresif yang melibatkan golongan kaya.

“Bila negara dah tinggi hutang, dan bebanan perbelanjaan makin bertambah, mana-mana kerajaan pun akan naikkan cukai. Itu kita faham.

“Cukai progresif ialah cukai yang lebih bebankan golongan kaya. Cukai regresif ialah cukai yang lebih banyak membebankan golongan susah.

“Harap usahakan kerajaan untuk kenakan cukai progresif ini kekal. Jangan tambah beban golongan susah.

“Selagi mereka (pemimpin kerajaan) tiada isu menyakau harta negara, kita boleh sokong dan sama-sama susah,” kata Liyana lagi.

Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai 2023, iaitu sebanyak RM183.34 bilion.

Jumlah itu melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding hasil kutipan tahun sebelumnya.

BACA JUGA Kira guna kalkulator TNB, jangan pakai sembang walaun