Sehari selepas ratusan rakyat Palestin dibunuh, AS umum misi ‘airdrop’

Sehari selepas ratusan rakyat Palestin dibunuh Israel ketika menunggu mendapatkan bantuan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan misi menggugurkan bantuan makanan (airdrop) pertama di Gaza.

Biden berkata, misi airdrop akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang tanpa menyatakan butiran lanjut.

Pengumuman AS itu dibuat selepas negara-negara lain, termasuk Jordan dan Perancis sudah pun melakukan bantuan sedemikian ke Gaza.

“Kita perlu melakukan lebih banyak dan AS akan melakukan lebih banyak lagi,” kata Biden sambil mengakui bantuan yang tiba di Gaza tidak mencukupi.

Di Rumah Putih pula, jurucakapnya, John Kirby menegaskan misi menggugurkan bantuan makanan akan menjadi usaha yang berterusan.

Jelasnya, bantuan pertama mungkin berupa makanan tentera atau ‘Meal Ready-to-Eat’ (MRE).

“Ini tidak akan berlaku sekali dan selesai sahaja,” kata Kirby, lapor Reuters.

Dalam perkembangan itu, Biden turut memberitahu pemberita, AS juga sedang melihat kemungkinan koridor maritim untuk menyampaikan sejumlah besar bantuan ke Gaza.

Pada 29 Februari lalu, sekurang-kurangnya 112 maut dan 760 cedera, akibat tembakan langsung tembakan tentera pembunuh Israel semasa ribuan rakyat Palestin menyerbu trak bantuan kemanusiaan.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, mereka yang terkorban dalam tragedi mengerikan itu akibat ditembak tentera Israel atau kerana digilis trak bantuan.

“Terdapat ramai orang, tetapi tentera Zionis terus menembak ke arah kami,” kata seorang pemuda yang berbaring di atas lantai yang kotor dan sesak di Hospital Kamal Adwan untuk menunggu rawatan, lapor AFP.

Israel bagaimanapun mendakwa kematian disebabkan orang ramai yang berkerumun di sekitar trak bantuan dan mangsa dipijak atau dilanggar.

BACA Menghampiri Ramadan sudah lebih 29,600 penduduk Palestin terkorban

Â