‘Yang dalam Malaysia tak jemput? Haji Hadi ke?’ – Ramai teruja Yusuf Islam hadir di Seri Perdana

Ramai dilihat teruja dengan kehadiran apa yang dipanggil Perdana Menteri sebagai “tetamu istimewa” iaitu pemuzik terkenal British, Yusuf Islam dan ulama dari Gambia, Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani.

Ada antara netizen di ruangan komentar Facebook rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanyakan jemputan kepada tokoh “istimewa” dari dalam Malaysia sendiri.

Namun, soalan itu dijawab secara sinis oleh kalangan warganet kemungkinan untuk menjemput Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum dibalas orang lain, “itu (Hadi) ekstrem”.

Kehadiran penyokong tegar Pas yang umum ‘mesra’ digelar sebagai walaun yang memperli juga dibalas dengan sindiran.

“Sheikh Howard Lee pun boleh.. Fasih bagi ceramah,” perli seorang walaun.

“Ustaz Bala pun boleh, pasal dia mimpi lagi… walaun sayang Ustaz Bala kan!” sindir warga maya pula.

Malam tadi, Perdana Menteri memaklumkan kehadiran Yusuf Islam yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens serta Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani sebagai penceramah jemputan pada majlis Syarahan MADANI di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri.

“Saudara Yusuf dalam perkongsiannya bertajuk “Da’wah Through The Fog” telah menyingkap pengalaman spiritual beliau meneroka keindahan dalam Islam serta mencari ketenangan dan bimbingan dalam al-Quran.

“Selain menghadapi pelbagai prasangka dan prejudis dalam dakwah, Yusuf tetap menonjolkan sisi nilai keadilan, ihsan dan kesederhanaan yang menjadi inti kepada ajaran Islam.

“Perkongsian Yusuf memberi inspirasi khususnya bagaimana beliau menyampaikan mesej Islam yang sarat dengan nilai keadilan dalam iklim jamak budaya dan agama.

“Saya zahirkan penghargaan atas perkongsian pengalaman peribadi Yusuf Islam dan doa Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani khususnya kepada Malaysia dan umat Islam secara umumnya.

“Semoga Saudara Yusuf dapat kembali lagi ke Malaysia terutamanya dalam konteks kesenian dan dakwah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau.

BACA JUGA PM Anwar: Ekonomi Madani perkasakan rakyat jadi tumpuan