Bukit Aman pula respon, syarikat suami Heliza tiada lesen buat aktiviti pelaburan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendirian sama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bahawa syarikat pelaburan milik usahawan, Mahadi Badrul Zaman tiada lesen untuk menjalankan aktivitinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya yakin suruhanjaya terbabit lebih mengetahui hal itu kerana ia di bawah bidang mereka.

Namun kata Ramli, pihaknya menyerahkan siasatan kepada SC untuk menentukan lanjut kedudukan syarikat pelaburan milik suami kepada selebriti Heliza Helmi itu.

“Berdasarkan kenyataan dikeluarkan SC, syarikat itu beroperasi tanpa lesen dan kita berpegang kepada perkara sama. Sudah tentu SC lebih mengetahui kerana di bawah bidang mereka.

“Di pihak PDRM, belum ada laporan diterima mengenainya, tapi kita bersama-sama SC menentukan bahawa ianya setakat ini tidak berlesen untuk menjalankan kegiatan sedemikian (pelaburan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Portal Semakmule 2.0 hari ini.

Pada masa sama beliau mengingatkan semua bakal pelabur untuk tahu implikasi melabur dalam syarikat tidak berlesan untuk tujuan itu.

“Bukan hanya syarikat itu sahaja, tetapi syarikat lain juga. Ada syarikat yang ditubuhkan untuk terima pelaburan kemudian berhenti separuh jalan dengan alasan disiasat PDRM, disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) atau berhadapan tindakan bangkrap. Pelabur habis puluhan dan ratusan ribu ringgit.

“Sebab itu itu kita kena ada jaminan, pengetahuan (dalam pelaburan) dahulu, jangan membuta tuli dan tahu apa asas perniagaan dan bukan hanya melabur mengharapkan untung,” kata beliau.

Sebelum ini, SC menerusi laman rasmi mengeluarkan kemas kini terbaharu Senarai Peringatan Pelabur yang dikaitkan dengan aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Senarai itu memaparkan nama Mahadi dan syarikat berserta nombor kad pengenalan dengan peringatan menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen berhubung pemasaran saham Syarikat Awam Tidak Tersenarai.

BACA JUGA Bos besar Telegram sedia bantu MCMC perkemas isu kawal selia aplikasi