Ini lapan keputusan berjaya dicapai dalam KEB 2024, nombor 8 ‘rider’ paling suka

Skim Perumahan MADANI antara lapan keputusan yang dipersetujui untuk diangkat oleh Kerajaan Malaysia dalam usaha memartabat ekonomi golongan Bumiputera dalam negara.

Lapan keputusan itu dicapai hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac lalu

1 Skim Perumahan MADANI 

Skim Perumahan MADANI akan diwujudkan untuk membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik atas tanah rizab Melayu dalam kadar segera, bagi menjamin kesejahteraan kaum itu di bandar.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia, kekal dimiliki orang Melayu.

Untuk itu, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersial di tanah-tanah rizab Melayu

2) Generasi Baharu Usahawan Bumiputera RM1 Bilion

 Kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Kita harus berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif. Begitu juga dengan kejayaan ramai usahawan muda yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti saudara Khairul Aming,” kata Anwar dalam ucapannya.

3) Wakaf Mara MADANI

Menubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta yang menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Wakaf MARA MADANI akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat Bumiputera dan memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan yang semakin mencabar di alaf baru ini.

4) Perkasa TVET

Kerajaan mahu melatih 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

5) Tabung geran padanan RM100 juta

Kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi mendukung pembangunan vendor tempatan.

Ia bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor seperti penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu khususnya pendigitalan, peralihan tenaga dan teknologi.

6) Agensi kerajaan peelu beli cenderahati dari Bumiputera

Keputusan keenam ialah semua Kementerian dan agensi Kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC) hanya dibenarkan membeli cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha Bumiputera bagi memartabatkan dan menyokong hasil seni para pengusaha tempatan.

7) Kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion

Keputusan ketujuh ialah kerajaan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui Institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional.

8) Suruhanya Pekerja Gig

Akhir sekali, keputusan kelapan ialah kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

BACA JUGA Bukit Aman pula respon, syarikat suami Heliza tiada lesen buat aktiviti pelaburan