Haram cium hajar aswad jika timbul masalah lain, kata bekas Mufti Wilayah

‎Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram, kata bekas Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri.

Bagi beliau, cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.

Katanya, agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya.

“Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial.

“Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu,” kata beliau mengulas video yang tular tentang sekumpulan jamaah Malaysia termasuk wanita yang berusaha mencium hajaral aswad sehingga berhimpitan antara satu sama lain.

(GAMBAR: Lelaki ini membawa sekumpulan wanita meredah jemaah lelaki untuk membolehkan mereka mencium hajar aswad dalam satu video yang tular)

“Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya.

“Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta content!” kata beliau menerusi facebooknya.

Katanya, tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah.

Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat.

Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.

BACA JUGA Khairy setuju, pesakit IJN yang telah stabil wajar dipindah ke hospital lain