Khairy setuju, pesakit IJN yang telah stabil wajar dipindah ke hospital lain

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin setuju dengan penjelasan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung isu pesakit jantung dikeluarkan (discaj) dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dihantar untuk rawatan ke pusat jantung di hospital kerajaan.

Menerusi rakaman podcast Keluar Sekejap di Instagram, Khairy berkata pesakit yang berada dalam keadaan stabil akan didiscaj dari IJN untuk rawatan susulan di hospital kerajaan, lapor Malaysiakini.

“Apa yang KKM jelaskan ialah apabila mereka (pesakit) berada dalam keadaan stabil pesakit akan didiscaj untuk dihantar ke hospital kerajaan.

“Kita fahamlah mungkin kos rawatan di IJN agak tinggi, jadi apabila sudah stabil, doktor atau (pakar) kardiologi yakin pesakit itu boleh dirawat di hospital kerajaan lain.

“Maka mereka dihantar untuk diletakkan di bawah penjagaan hospital kerajaan. Saya rasa okaylah, jawapan itu betul,” katanya.

Satu laman web perubatan, Code Blue melaporkan kakitangan kerajaan telah dikeluarkan daeri IJN dan dihantar ke hospital kerajaan yang lain.

Ia telah menimbulkan keresahan di kalangan kakitangan kerajaan bahawa IJN tidak lagi menerima surat pengakuan dari kerajaan sebagai cagaran untuk mendapatkan rawatan di IJN.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, kerajaan mempunyai tujuh hospital yang mempunyai kemudahan dan pakar rawatan jantung termasuk Hospital Serdang.

Apabila pesakit yang memasuki IJN telah stabil, mereka akan dipindahkan ke hospital berkenaan.

BACA JUGA Bagaimana 4,000 pesakit baru nak masuk IJN jika yang dah stabil tak discaj?