Lawatan sulung Anwar ke Australia diberi sambutan rasmi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Rumah Kerajaan, Victoria, hari ini, sempena lawatan empat hari beliau ke Australia.

Lapor Bernama, ketibaan Anwar disambut oleh Gabenor Victoria Margaret Gardener dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Majlis itu mendahului perbincangan dua hala dan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Australia-Malaysia (ALM) Kedua.

Beliau melakukan lawatan itu atas jemputan Albanese, yang bermula di Melbourne semalam dan berakhir di Canberra pada Khamis ini.

Ini adalah lawatan sulung Anwar ke Australia dan beliau mengetuai delegasi Malaysia ke ALM serta Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia. 

Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog Asean-Australia, dengan Asean dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan dan kerjasama maritim.

BACA JUGA Dr Hafidzah tunai janji, baiki kemudahan Pasar Siti Khadijah