KWSP bersasar! Hebat kerangka ekonomi PN, sindir Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyindir Perikatan Nasional (PN) yang hanya tahu bercakap tentang pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada PN yang tegar dengan tuntutan KWSP bersasar sebagai jawapan kepada cabaran ekonomi negara dan global.

“Tahniah PN berjaya membentang rancangan ekonomi sebagai jawapan kepada cabaran ekonomi negara dan global,” sindir Rafizi di aplikasi X beliau.

Menurutnya, PN menganggap masalah pertumbuhan ekonomi dunia yang lembap akan dapat diselesaikan dengan KWSP bersasar.

Begitu juga dalam menyelesaikan isu kenaikan harga makanan di seluruh dunia yang mengganggu harga makanan domestik.

Malah, ekonomi China yang melalui ‘pembetulan’ serta nilai matawang USD yang mengukuh menyebabkan matawang lain semakin melemah juga jawapannya terletak pada KWSP bersasar.

Semalam, buat kesekian kalinya, PN mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan pencarum KWSP untuk mengeluarkan simpanan secara bersasar.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tuntutan itu dibuat kerana beliau menerima memorandum daripada wakil pencarum yang sedang terdesak kerana kesempitan hidup.

Desakan PN untuk pengeluaran KWSP itu terus dikitar semula walaupun lebih dua pertiga pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai dana mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Keadaan membimbangkan itu berlaku ekoran empat pengeluaran khas KWSP membabitkan 8.1 juta ahli atau 62 peratus daripada 13.1 juta ahli yang layak ketika pandemik Covid-19 kepada ahli di bawah umur 55 tahun.

BACA JUGA Lelaki jalan kaki tuntut KWSP: Ini perancangan PN?