Pernah menang 3 PRK, PH sedia untuk pilihan raya lagi

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia untuk segala kemungkinan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) bila-bila masa.

Sedang hangat diperkatakan bahawa enam kawasan Parlimen yang disandang Ahli Parlimen daripada Bersatu kemungkinan bakal dikosongkan kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Faiz, PH bersama Barisan Nasional (BN) berupaya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen pada PRK lepas.

“Kita menunjukkan prestasi baik (memenangi kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan Pelangai) menerusi Kerajaan Perpaduan.

“Ini sekali gus memberi lonjakan semangat dan kekuatan kepada kami (untuk berdepan PRK) dan sememangnya PH sudah bersedia,” katanya hari ini menurut Berita Harian.

Bersatu sebelum ini dilaporkan akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan meneruskan sokongan.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan Bersatu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong perdana menteri, selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

BACA JUGA Video bukan untuk ‘content’, Pempengaruh perjelas isu berhimpit nak cium Hajar Aswad