Video bukan untuk ‘content’, Pempengaruh perjelas isu berhimpit nak cium Hajar Aswad

Nama pempengaruh Hafiz Mahamad menjadi buah mulut ramai selepas dia menunjukkan kelakuan yang agak agresif di hadapan Makkah sehingga terbuka kain ihramnya.

Menyedari dirinya diperkata ramai, Hafiz menegaskan bahawa niatnya memuat naik video membawa pekerja-pekerjanya mencium batu Hajar Aswad semasa berada di tanah suci itu bukanlah kerana konten semata-mata.

Ujar Hafiz, tindakannya itu sekadar mahu memberi peluang kepada ahli rombongannya untuk merasai pengalaman mencium Hajar Aswad.

“Saya tak mahu mereka rasa ralat dan cakap… ala ruginya tak cium Hajar Aswad, tak dapat solat di Hijr Ismail sebab takut tengoksituasi ramai orang,” katanya menerusi video di Instagram.

Tambah Hafiz yang sudah lebih tujuh kali menjejakkan kaki di tanah suci Makkah, dia sememangnya menggalakkan kakitangannya berusaha melakukan amalan sunat seperti mencium batu Hajar Aswad meskipun mengetahui kesukaran yang perlu dilalui.

“Apabila ada rezeki bawa mereka datang ke sini, saya selalu terapkan pada pasukan supaya jangan buat food hunting sahaja, jangan fikir kita akan solat di dalam masjid saja.

“Tapi ada perkara-perkara lain, cubalah usahakan untuk pergi. Cuba manfaatkan, cubalah solat dalam Hijr Ismail, cium batu Hajar Aswad, cubalah solat depan Kaabah walaupun dalam keadaan sukar.

“Saya bagitahu mereka begitu sebab tak mahu nanti mereka rasa ralat,” tambahnya.

Berhubung dakwaan menyakiti jemaah lain yang berada di sana, Hafiz menyatakan dia tidak menyakiti atau memudaratkan mana-mana jemaah yang berada di sana.

Bahkan dia menjelaskan tidak memarahi sesiapa dan hanya meninggikan suara kerana keadaan terlalu bising menyebabkan percakapannya tenggelam.

“Saya tahu mana nak masuk dan masuk dengan cara yang tidak menyakitkan. Yang saya dekat atas itu, bukan saya marah-marah, saya cuma bagitahu sebab keadaan masa itu bising sebenarnya.

“Saya cakap ‘haji haji sabar, don’t push women and kids here’, makna bukan team saya sahaja, dekat depan itu (Hajar Aswad) banyak lagi orang perempuan,” katanya.

Hafiz pada masa sama turut meminta maaf secara terbuka sekiranya video terbabit telah mewujudkan pelbagai persepsi daripada orang ramai yang menontonnya.

BACA JUGA Kunjungan Anwar dapat liputan muka hadapan akhbar The Australian