Tanpa pegawai JPJ di sisi, ujian memandu secara automasi hari ini

Projek perintis sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’ bermula hari ini tanpa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sisi calon.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera serta keputusan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.

Menurutnya, institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100 bagi penggunaan sistem terbabit.

Bagi calon memilih menggunakan pengujian secara eTesting, jelasnya, akan menerima beberapa manfaat seperti boleh menjalani percubaan kali kedua bagi elemen ujian yang gagal pada hari sama tanpa kos tambahan.

“Calon ujian juga akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian selain mendapat rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan.

“Bagaimanapun, buat permulaan calon diberi pilihan untuk menjalani ujian manual atau eTesting,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja pelaksanaan inisiatif eTesting di Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor hari ini.

Tiga institut memandu memulakan projek perintis eTesting iaitu di IM Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi, Pulau Pinang.

BACA JUGA Sudah boleh perbaharui lesen memandu 10 tahun mulai hari ini