Baru tiga bulan jenguk dunia, hayat bayi lelaki ini berakhir di pusat asuhan

Masih hanya berusia tiga bulan, seorang bayi lelaki dilapor tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, Selangor sebelum disahkan meninggal dunia, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa jam 2.31 petang pada hari tersebut.

“Siasatan mendapati mangsa dihantar kali pertama oleh bapanya ke pusat asuhan itu pada jam 8.30 pagi hari berkenaan.

“Pada jam 10.30 pagi, pengurus pusat asuhan memaklumkan kepada bapa mangsa yang bayi berkenaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah bedah siasat dijalankan pada jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang di Unit Forensik Hospital Shah Alam, semalam.

“Keputusannya masih menunggu hasil siasatan makmal. Pemeriksaan ke atas mangsa tidak menemui kecederaan luaran atau dalaman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, kenyataan pengasuh dan pekerja pusat asuhan sudah diambil.

“Kenyataan ibu dan bapa mangsa akan diambil selepas urusan pengebumian di Kelantan,” ujarnya.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 011-21112824,” katanya.

BACA JUGA Pindaan perlembagaan berhubung kewarganegaraan bayi perlu ditarik balik