Padah buat tuntutan palsu hampir RM1 juta, pengarah syarikat ditahan

Seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu hampir RM1 juta, sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

Beberapa media tempatan melaporkan, lelaki berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 7.30 malam tadi.

Lelaki tersebut didakwa memalsukan tuntutan babit kerja-kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan kamera litar tertutup (CCTV).

Perintah reman empat hari bermula hari ini hingga 9 Mac terhadap suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

“Suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu yang dilakukan pada 2021 membabitkan kerja penyelenggaraan stor minyak dan bilik penginapan di Kota Belud berjumlah lebih RM490,000.

“Suspek juga dipercayai membuat tuntutan palsu kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan CCTV berjumlah lebih RM470,000 di Lahad Datu sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

BACA JUGA MP Pas disindir guna sumber wikipedia ketika berhujah isu bak kut teh