Selalu tiada di Parlimen, sekali datang gelar kerajaan ibarat burung tiung, kakak tua
Selalu tiada di Parlimen, sekali datang gelar kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat ‘burung tiung’ yang hanya tahu mengikut sahaja kata-kata ‘tuannya’, tanpa memahami maksudnya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga melabel pemimpin kerajaan sebagai ‘burung kakak tua’, dan menurutnya, walaupun ‘tua’ tetapi tidak tahu bercakap.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengkritik pihak yang bercakap berkaitan Madani tetapi tidak tahu makna sebenar perkataan itu.
Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab celahan daripada Datuk Abdul Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya adakah beliau setuju kerajaan sekarang seperti ‘burung tiung’, bercakap tapi tidak tahu apa yang dicakapkan.
Kerap tidak hadir dalam sidang Parlimen sebelum ini, Hadi juga mengingatkan kerajaan berkaitan keadilan ketika memerintah.
Kata bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu, ia termasuklah dengan memberikan peruntukan kepada pembangkang.
“Kita kena sedar, termasuklah adil itu kepada ahli Parlimen, negeri-negeri kesemuanya.
“Bila lepas pilihan raya, tak kira siapa sokong kerajaan atau pembangkang, mesti beri peruntukan.
“Ini makna adil, kerana bila kita kutip cukai, kutip semua, Kastam tak tanya pakaian anak …siapa? kerajaan ke pembangkang?
“Hasil diambil semua, tapi bila diagih, dibeza-bezakan. Ini tak adil.
“Benda yang terlalu prinsipal, yang jelas, hilangkan perkara tak molek ini barulah kita mewujudkan negara yang dipercayai oleh luar negara,” kata Hadi lagi.
Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata demikian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
BACA JUGA Sultan Sharafuddin dukacita, Hadi tak beradab