Perokok di tempat makan diburu, 214 notis kesalahan dikeluarkan

Sebanyak 214 notis di bawah Seksyen 32(b) Akta Makanan 1983 dengan anggaran kompaun bernilai RM54,050 dikeluarkan dengan lebih separuh daripadanya merokok di premis makan.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kesemua notis itu menerusi Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 bertema “Ops Tempat Makan”.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, sebanyak 110 notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makan, 48 di kawasan kompleks membeli belah dan 20 di kawasan lapangan terbang.

Jelasnya, “Ops Tempat Makan” yang diadakan dua hari sejak kelmarin juga telah mengeluarkan 29 notis kesalahan kepada pemilik premis.

Mereka terbabit gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan lima notis kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

“Satu notis dikeluarkan atas kesalahan merokok oleh orang belum dewasa dan satu notis kerana gagal mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan di sekitar Cyberjaya di sini, semalam.

Beliau memaklumkan sebanyak 16,046 operasi di bawah PPKHT 2004 dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lepas manakala 1,568 operasi dijalankan tahun ini sejak Januari lalu.

Tambahnya, setakat tahun ini lima negeri paling tinggi mencatatkan notis kesalahan merokok di premis makan adalah Selangor iaitu 750 notis, Johor (743), Pulau Pinang (595), Sarawak (586) dan Pahang dengan 519 notis.

BACA JUGA Dulu Nik Aziz mahu calon bebas rokok, kini YB Pas selamba merokok