Samsuri hanya boneka Hadi, belum tunjuk sebarang kejayaan

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hanya boneka kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan belum menunjukkan sebarang kejayaan di Terengganu.

Pengerusi Amanah Terengganu yang baharu, Senator Hasbie Muda berkata, sehingga kini Samsuri belum memperlihatkan sebarang jasa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Terengganu.

“Draw bridge yang terkenal itu pun bukan dihasilkan oleh beliau. Itu sudah dirancang dan dibuat oleh kerajaan BN sebelum ini,” kata Hasbie.

Katanya, apa yang ada kepada Samsuri hanyalah imej baik beliau berbanding dengan pemimpin Pas yang lain apabila beliau dilihat membawa imej sebagai seorang profesional dan menolak politik takfiri yang melingkungi imej parti itu sekarang.

“Dr Sam ini dia bawa imej baru kepada Pas. Saya difahamkan gagasan budaya politik matang dan sejahtera juga yang kuat mengangkat beliau.

“Maknanya kita jangan melebel orang, jangan takfiri.

“Cuma sejauh mana kekuatan Dr Sam dalam Pas itu masih jadi persoalan,” kata Hasbie dalam satu sessi podcast dengan beliau.

Menurut bekas calon Amanah di Paka itu, Samsuri belum menunjukkan sebarang hasil sebagai MB Terengganu.

“Bukan belum berjaya, belum ada hasil apa pun,” kata beliau.

Dari segi politik pula, Samsuri hanya boneka Hadi sahaja.

“Secara kasarnya, dia hanya boneka Hadi Awang. Hadi Awang tak boleh jadi menteri besar, jadi Dr Sam ini orang dia,” kata Hasbie.

Menurut Hasbie, penghormatan orang kepada Samsuri adalah kerana dia orang Presiden Pas.

Sebenarnya, kata Hasbie, Samsuri sendiri tidak boleh mentadbir atau menguruskan Perhubungan Pas Terengganu.

“Parti (Pas) terpaksa melantik orang lain yang lebih senior iaitu Senator Husin Awang (sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu) untuk mententeramkan pergolakan di Terengganu.

“Kalau dia ada kekuatan untuk memimpin dia sepatutnya menjadi Pesuruhjaya Pas Terengganu tetapi dia hanya timbalan. Yang jadi pesuruhjaya tokoh yang seusia dengan presiden Pas yang memang dihormati,” kata Hasbie lagi.

Menurut beliau, prestasi Samsuri sebagai menteri besar sangat teruk.

“Ekonomi umpamanya, kalau Selangor sumbangan KDNK negara 25.5 %, manakala Terengganu 2.5 % sahaja. Itupun sebahagian besarnya adalah hasil petroleum.

“Industri juga tidak kelihatan di Terengganu. Kalau industri pun terkebelakang, pertanian juga teruk.

“Beras Terengganu pun, hanya 50,000 ton metrik (setahun) pengeluarannya.

“Telur pun tiada. Dia baru nak buat sahaja. Jadi tidak ada prestasi yang boleh dibanggakan,” katanya.

Belanjawan Terengganu pula bergantung kepada pemberian Dana Khas Persekutuan untuk tadbir negeri itu.

“Hasil yang dia betul-betul jana tidak cukup pun untuk bayar gaji kakitangan dia. Saya ingat hanya RM270 juta macam itu sahaja berbanding dengan perbelanjaan mengurus dia sebanyak lebih kurang RM350 juta.

“Di situ kita boleh lihat, dalam tempoh lima tahun dia jadi MB, dia tak buat apa-apa yang besar kepada rakyat,” katanya.

Samsuri dipilih sekali lagi sebagai menteri besar selepas Pas menang besar di Terengganu dalam pilihan raya enam negeri baru-baru ini walaupun sebelum itu terdapat ura-ura Istana Terengganu tidak mahu beliau menjadi MB lagi.

BACA JUGA Cerminlah diri Azmin, Rashid sudah lari