Sokongan kepada MB Selangor tempeleng maut kepada Azmin

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memperlihatkan beliau lebih takut kapal Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan karam.

Itu pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi susulan pengisytiharan sokongan yang dilakukan oleh wakil rakyat tersebut.

Puad menyifatkan, tindakan Abdul Rashid yang memberikan sokongan kepada kepimpinan Amirudin merupakan tempeleng maut kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

”Rashid melakukan kamikaze kerana Bersatu baru pinda perlembagaan parti. Dia tidak takut pada pindaan. Dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam.

”Bersatu akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti jika pindaan itu tidak terpakai sebelum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS),” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dalam hantaran sama, Puad berkata, sekiranya benar terdapat lima lagi ADUN yang akan mengikut jejak Rashid, ia bermakna Azmin tidak solid di Selangor.

”Dia bukan ‘poster boy’ Bersatu di Selangor. Azmin kata rakyat penat tengok gelagat ahli parlimen dan ADUN Bersatu alih sokongan.

”Dia lupa, dia pernah buat rakyat penat dengan ‘Langkah Sheraton’ dan kini ‘Langkah Dubai’,” katanya lagi.

Semalam, Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor membuat keputusan berkenaan selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti Titah Ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, Abdul Rashid dalam kenyataan berkata, beliau kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN Selat Klang.

BACA JUGA Bersatu, demi kepentingan siapa?