Karenah di Dewan Rakyat

Sidang Dewan Rakyat yang bermula pada 26 Februari akhirnya melabuhkan tirai setelah 190 Ahli Parlimen menjunjung titah Yang Dipertuan Agong dan membangkitkan isu-isu berkepentingan di kawasan yang mereka wakili dan isu nasional.

Ahli parlimen adalah pembuat dasar, baik di blok kerajaan mahupun pembangkang.

Perkara-perkara yang dibangkitkan menerusi perbahasan seharusnya dengan perspektif holistik kerana ahli parlimen mewakili kumpulan rakyat besar.

Walau bagaimanapun apa yang kita dipertontonkan adalah sebaliknya.

Seorang ahli parlimen tua bangun memberikan khutbah dan tazkirah. Dalam 12 minit yang diperuntukkan kepadanya, tiada langsung satu perkara berkepentingan umum untuk segenap masyarakat Malaysia.

Oleh kerana beliau ketua parti, sebilangan ahli parlimen partinya terikut-ikut memberikan khutbah dan tazkirah di Dewan Rakyat, bukannya berbahas berkenaan isu yang membelenggu rakyat.

Khutbah dan tazkirah bukanlah perkara yang wajar disampaikan menerusi Dewan Rakyat. Mimbar masjid pentas terbaik untuk khutbah dan tazkirah.

Dalam menyampaikan ‘khutbah dan tazkirah’ boleh pula beliau memperli lawan politik dengan nama binatang.

Jika dianalisa, perbuatan perli itu turut menukarkan ‘feel’ yang ada pada ‘khutbah dan tazkirahnya’. Perbuatan sebegini juga memberikan gambaran negatif kepada agama Islam.

Apa gunanya mempunyai 40 ahli parlimen mewakili satu parti sekiranya ketua parti sendiri tidak erti berbahas?

Inilah sebenarnya yang dimaksudkan oleh bekas ahli parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming apabila beliau berkata blok pembangkang tidak mempunyai keupayaan membahaskan dasar awam.

Mungkin perbahasan perlu didefinasikan di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Satu lagi perkara yang menjadi perbualan ramai penonton Dewan Rakyat tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaafkan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai korup dan turut menarik nama Yang Dipertuan Agong.

Kita faham bahawa kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah mutlak. Bukan itu yang mahu dipertikai.

Selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menjalankan reformasi dan hasrat Agong yang dizahirkan iaitu penggantungan kedatangan ke parlimen yang lama, sudah tiba masanya untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menggunakan kuasa yang ada.

Apa gunanya kuasa jika ia tidak digunakan? Kuasa perlu digunakan dalam keadaan di mana institusi demokrasi digegarkan.


Maulana Sheikh Ashraf Khan ialah seorang pembaca Harapan Daily.