Pas saran Bersatu contohi cara mereka tarbiah wakil rakyat supaya tak lompat parti
Mursyidul am Pas menyarankan rakan sekapalnya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu mencontohi kaedah diamalkan parti Islam itu dalam mentarbiah calon wakil rakyat mereka.
Datuk Hashim Jasin berkata, Bersatu perlu lebih berhati-hati dalam memilih calon bertanding pilihan raya, dengan memastikan individu dipilih memahami hala tuju perjuangan parti dan matlamat mendapatkan keredaan Allah SWT.
Katanya, Pas adalah sebagai contoh yang berjaya mentarbiah calon-calon wakil rakyat dan ahli parti untuk kekal setia dalam perjuangan serta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti melompat parti atau mengalih sokongan kepada pihak lain.
“Untuk memilih calon pilihan raya,parti perlu utamakan pembangunan sahsiah ahli dan proses itu bukan mengambil masa pendek.
“la perlu melalui proses A, B dan C sehingga kita dapat mendidik dan melatih ahli-ahli terutama calon-calon pilihan raya memahami hakikat perjuangan parti.
“Tidak boleh esok berlaku (pilihan raya), hari ini baru hendak pilih calon. Saya nampak proses tarbiah perlu diberi penekanan oleh Bersatu.
“Ambil contoh wakil rakyat Pas yang sehingga kini tidak lompat parti. Ini bukan hasil kerja kelmarin, tetapi melalui proses lama,” katanya menurut akhbar Sinar Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengumumkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kelmarin.
Pengumuman mengejut Abdul Rashid itu dibuat di tengah-tengah kemelut dalaman Bersatu yang sebelum ini menyaksikan enam ahli Parlimen beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Hashim mengakui tindakan tujuh wakil rakyat Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada keyakinan penyokong Perikatan Nasional (PN) dan rakyat.
Ujarnya, pengundi pada hari ini sentiasa memerhati dan menilai sikap parti serta perangai pemimpin yang diundi sewaktu pialihan raya terdahulu.
“Bila ada situasi wakil rakyat lompat-melompat, sudah tentu keyakinan pengundi dan penyokong terhadap parti berkenaan dan sekutunya akan terjejas.
“Saya berharap Bersatu dapat mendepani masalah dalaman parti yang dihadapi dengan jayanya. Saya percaya mereka perlu mengukuhkan asas penubuhan parti dengan hala tuju perjuangan Bersatu harus diperkasakan,”katanya.
Ditanya sama ada Pas wajar bertanding pada setiap kerusi pilihan raya yang mungkin bakal dikosongkan oleh tujuh wakil rakyat Bersatu berkenaan, Hashim berpandangan perkara itu perlu dibincangkan dalam Dewan Tertinggi PN menerusi proses rundingan.
BACA JUGA Rashid belum terpecat sebagai wakil rakyat walau selepas Bersatu pinda perlembagaan – Peguam