Rashid belum terpecat sebagai wakil rakyat walau selepas Bersatu pinda perlembagaan – Peguam
Bersatu tidak boleh mengarahkan agar wakil rakyatnya, Abdul Rashid Asari untuk mengosongkan kerusi DUN Selat Klang biarpun parti itu baru sahaja meminda perlembagaannya, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.
Ini kerana kata beliau, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) belum meluluskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang antara lain, akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika mereka menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan pendirian parti.
Menurut Haniff, biarpun sesebuah parti politik memecat seseorang wakil rakyatnya kerana melanggar arahan atau menyatakan sokongan kepada pihak lain, namun ia tidak dianggap sebagai keluar parti mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau kita lihat pindaan perlembagaan Bersatu, jika seseorang wakil rakyat sama ada ADUN atau ahli Parlimen tersebut melanggar arahan, maka dia dianggap keluar parti biarpun itu bermakna ia suatu pemecatan keahlian secara tidak langsung.
“Saya berpandangan biarpun Bersatu sudah meminda perlembagaan dan mungkin mendapat kelulusan RoS, namun ia bukan satu perkara mudah untuk kita mengatakan Abdul Rashid sudah hilang kerusi Selat Klang.
“Walaupun RoS sudah meluluskan pindaan perlembagaan tersebut, Bersatu tetap perlu mendapat pengesahan Speaker DUN Selangor untuk umumkan kekosongan kerusi Selat Klang,” katanya dilapor akhbar Sinar Harian dalam Sinar Premium.
Pada masa beliau menegaskan, jika Speaker DUN Selangor tidak bersetuju, maka Bersatu perlu mengemukakan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi bagi menentukan sama ada berlaku pengosongan kerusi Selat Klang atau sebaliknya.
Haniff juga membangkitkan persoalan, ada atau tidak keputusan mesyuarat MPT Bersatu yang ‘mengharamkan’ mana-mana Adun menukar sokongan kepada menteri besar.
“Ada ke tidak? Kalau tiada maka Bersatu tidak boleh menganggap ADUN Selat Klang sudah melanggar keputusan parti sekali gus menyebabkannya terpecat secara automatik sebagai wakil rakyat,” ujarnya lagi.
Bersatu meminda perlembagaannya yang menetapkan mana-mana ahli yang merupakan wakil rakyat, yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi, disifatkan terhenti keahliannya secara serta-merta.
Susulan itu, Setiausaha Agung di atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, perlu mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan untuk memaklumkan penamatan keahlian secara serta-merta.
BACA JUGA Dakwa RM30,000 duit Tabung Haji lesap, rupanya dipindahkan ke akaun bank sendiri
Â