KEB 2024 ramuan terbaik angkat ekonomi Bumiputera sama tinggi kaum lain – Pakar

Pakar Ekonomi menyifatkan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang diadakan minggu lalu adalah penawar terbaik untuk mengangkat ekonomi Bumiputera supaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lain.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Dr Mohd Rahim Khamis berkata, KEB 2024 adalah landasan terbaik memacu pemerkasaan ekonomi Bumiputera, seterusnya mampu merapatkan jurang antara kaum di Malaysia.

“Jika dikaji, keadaan ekonomi Bumiputera kini bukan berada pada tahap boleh dibanggakan kerana terdapat pelbagai laporan dikeluarkan berkaitan isu ekonomi Bumiputera sejak dahulu.

“Satu penyelesaian perlu dilakukan bagi menyuntik kembali pertumbuhan ekonomi Bumiputera supaya jurang antara kaum, terutama dari aspek ekonomi dapat dirapatkan.

“Sehubungan itu, KEB 2024 adalah platform untuk menyuntik kembali ramuan dan penawar supaya ekonomi Bumiputera dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama kaum lain,” katanya dalam penulisan terbarunya.

Beliau juga memandang positif kepada beberapa inisiatif kerajaan dalam usaha menggalakkan Bumiputera menceburi bidang perniagaan dan juga menggalakkan dalam pemilikan aset seperti hartanah.

Sementara itu, Mohd Rahim berkata, beliau senada dengan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Bumiputera perlu mulakan 3P – ‘penyertaan, pemilikan dan penguasaan’ untuk memberi impak kepada agenda ekonomi mereka sendiri.

“Kenyataan ini ada asasnya kerana pembabitan orang Melayu dan Bumiputera masih kurang dalam bidang keusahawanan. 

“Situasi ini terjadi disebabkan sikap terlalu bergantung bantuan kerajaan untuk menjadi usahawan,” ujarnya.

Justeru katanya, sebagai seorang usahawan, sikap kebergantungan kepada kerajaan perlu dikurangkan kerana kejayaan sebenarnya bergantung kepada daya usaha, kemahiran dan inisiatif sendiri untuk merebut peluang meskipun terdapat banyak bentuk sokongan daripada kerajaan.

BACA JUGA Bekas pengikut bongkar agenda ‘kerajaan 9’, rancang angkat Mawla Amin sebagai imam Mahdi