Taufiq Johari tamatkan zaman bujang, kelibat Perdana Menteri pula curi tumpuan

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari hari ini menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya di usia 28 tahun.

Mohammed Taufiq melangsungkan perkahwinan dengan Dr Fathiya Ainul Mardhiyah Andri Nopendra, 26.

Majlis perkahwinan pasangan mempelai itu berlangsung di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan ramai selepas dilihat hadir memeriahkan majlis perkahwinan Mohammed Taufiq.

Ketibaan Anwar pada jam 12 tengah hari disambut bapa pengantin lelaki yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan isteri, Puan Sri Noraini Mohd.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkesempatan beramah mesra dengan keluarga pengantin dan tetamu.

Beliau yang meluangkan masa hampir satu jam di majlis turut sudi merakam gambar dan berborak bersama Mohammed Taufiq dan pasangannya, Dr Fathiya.

Apa yang menarik perhatian, Perdana Menteri dilihat hadir mengenakan baju Melayu berwarna biru sedondon dengan pasangan mempelai.

Beliau diiringi Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuklah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan ahli-ahli Parlimen.

Untuk rekod, Mohammed Taufiq adalah graduan Universiti Islam Bandung dalam jurusan perubatan dan tamat pengajian pada 2020.

Beliau yang juga Ketua AMK Kedah itu berpengalaman sebagai doktor pelatih di Hospital Al-Ihsan Bandung dan Hospital Dr Slamet di Garut, Indonesia.

Selepas pulang ke Malaysia, beliau berkhidmat di Klinik Al-Hadi, di Sungai Petani.

BACA JUGA KEB 2024 ramuan terbaik angkat ekonomi Bumiputera sama tinggi kaum lain – Pakar