Empat negeri mulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini

Empat negeri yang digolongkan dalam Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan penggal 2024/2025 hari ini.

Bagi Kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula esok.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun ini akan meneruskan pendekatan baharu iaitu tiada pengajaran dan pembelajaran (PDP) dalam bilik darjah pada minggu pertama.

Sebaliknya, ia diisi dengan aktiviti yang mewujudkan suasana ceria di sekolah serta penerapan adab dan akhlak.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan sebelum ini, dalam minggu pertama, pengurusan sekolah perlu mengalu-alukan kehadiran murid dan pelajar dan memastikan mereka seronok untuk hadir ke sekolah.

Minggu pertama juga jelasnya wajar dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti menyeronokkan yang membangunkan emosi anak murid serta guru untuk melaksanakan proses pendidikan formal nanti.

Berhubung pemakaian seragam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Januari lalu mengumumkan iaitu dua hari pelajar memakai pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum.

Namun, KPM akan berbincang dan mendapatkan input daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan MetMalaysia berhubung ketetapan baharu seragam sekolah jika cuaca panas bertambah serius.

BACA JUGA Jika BAP dipotong, kemukakan aduan – Fadhlina