Islam luas tapi Pas jumud jadikan undang-undang syariah ‘pil ajaib’

Oleh AHMAD MURSI

Exco Kelantan tidak menjawab soalan yang ditanya di DUN: Berapa banyak kes yang didakwa di bawah 16 kesalahan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang lulus sejak 2019.

Malah, Ustaz Asri Daud membalas dengan bertanya pendirian ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah berkenaan keputusan Mahkamah membatalkan 16 seksyen kerana pertindihan bidang kuasa.

Pas mahukan lebih banyak bidang kuasa menggubal undang-undang untuk negeri, tetapi mereka tidak mampu menguatkuasakan Undang-undang Jenayah Syariah yang sudah diluluskan DUN.

Kenyataan Ketua Hakim Negara, polis dan KKM menunjukkan peningkatan kadar jenayah yang membimbangkan khususnya berkaitan kesalahan seksual di Kelantan.

Hakikatnya, kerajaan negeri mempunyai kewangan yang terhad untuk membina pasukan penguatkuasa dan penyiasat yang besar dan terlatih di Jabatan Agama sebagaimana peranan yang dimainkan oleh polis.

Islam luas, Pas jumud

Masalah sebenar ialah, pemikiran Pas yang anggap hanya undang-undang di negeri sahaja Islamik dan Undang-undang Persekutuan pula ‘tidak Syariah’. Padahal itu tidak benar.

Pas cuba ‘sekularkan’ kehidupan rakyat dengan hal ehwal yang lebih luas di peringkat Persekutuan.

Saya tidak nampak bagaimana undang-undang jalan raya (sebagai contoh) ‘tidak memenuhi kaedah al-Quran dan Hadith’ seperti dakwaan Pas. Walhal, Islam hanya meletakkan kaedah asas dan selebihnya adalah terpulang kepada pemerintah.

Perbezaan enakmen-enakmen syariah di 14 negeri yang sedia ada sudah cukup memeningkan. Bayangkan jika bidang kuasa jenayah yang lebih luas diagih kepada 14 negeri.

Di satu negeri menjadi satu kesalahan, di negeri lain pula tidak menjadi kesalahan (seperti kes Qazaf-Liwat). Peguam perlu dapatkan lesen dan perbaharuinya di setiap negeri untuk praktis.

Sepatutnya, usaha penyelarasan di peringkat Persekutuan menjadi fokus dan pilihan terbaik dan memenuhi maslahah syarak dengan syarat mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

‘Pil ajaib’ Pas

Perjuangan ‘menegakkan undang-undang syariah’ dikatakan menjadi ‘matlamat tertinggi’ dan ‘NYAWA PAS’ untuk menarik sokongan.

Perjuangan Pas bukannya terletak kepada usaha membangunkan ekonomi, menyediakan peluang kerja, menghapuskan kemiskinan Kelantan yang masih kedua tertinggi di Malaysia, menyediakan air bersih, mendidik rakyat dengan kebersihan, mengekang jenayah melalui pendidikan dan program sosial dan agama.

Wakil rakyat Pas dilihat jahil apabila bercakap isu ekonomi seperti ucapan YB Pas Pasir Mas bahawa kadar inflasi Kelantan (0.9%) lebih baik dari paras Nasional (1.5%). Walhal, itu lambang ekonomi Kelantan yang perlahan dan kadar pengangguran pula masih tinggi.

Pas anggap dengan undang-undang sahaja boleh menjadi ‘pil ajaib’ untuk bina kesejahteraan dan menyelesaikan kesemua masalah rakyat.

Padahal, undang-undang hanyalah pelindung kepada kemakmuran yang juga perlu usaha keras dan pemimpin yang cekap untuk dibina.

BACA JUGA Exco Kelantan sampai ke sudah tak jawab soalan Dr Hafidzah