Rakyat boleh beli harga lebih murah, ini senarai 450 lokasi Jualan Rahmah Ramadan
Sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak 450 lokasi Program Jualan Rahmah (PJR) akan dilaksanakan di seluruh negara bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan makanan dan keperluan rumah yang lebih murah berserta potongan harga antara 10 hingga 30 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif memperluaskan program baharu itu di bawah agenda Payung Rahmah Madani akan bermula pada 1 Ramadan.
”Kita berharap semua masyarakat melayari atau menyemak jadual 450 lokasi siri PJR Ramadan melalui pautan laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui lokasi program ini.
“Dalam PJR Ramadan ini, kita masih mengamalkan konsep barang yang ditawarkan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.
“Selain itu, perlaksanaan program ini turut menumpukan jualan barang basah keperluan untuk memasak dan juga barang yang diperlukan untuk bulan Ramadan dan seterusnya menghadapi hari raya seperti tepung, daging, ikan dan ayam,” katanya dipetik Sinar Harian.
Menurut Armizan, bekalan produk yang dijual adalah melibatkan kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti disebutkan bagi mendapatkan bekalan barangan basah.
”Jadi dengan kerjasama ini, kita dapat membantu khususnya golongan sasar mendapatkan barangan kering dan basah serta barang untuk persiapan membuat kuih dan sebagainya.
”Sasaran kita juga dalam satu parlimen sekurang-kurangnya dua siri PJR Ramadan dan di Sabah ada 25 Parlimen jadi ada 50 PJR Ramadan kita laksanakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Papar.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang Ramadan ini, terdapat dua program utama yang dilaksanakan KPDN iaitu PJR Ramadan dan juga bazar Ramadan.
Katanya, beliau telah meminta timbalannya, Fuziah Salleh membuat perasmian dan mengumumkan intipati atau pengisian program bazar Ramadan.
Untuk rekod, program Jualan Rahmah digerakkan oleh KPDN bermula awal tahun 2023 iaitu pada 11 Januari, menawarkan barang keperluan dengan harga yang lebih murah.
Inisiatif Payung Rahmah merangkumi program Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah.
Konsep Rahmah diperkenalkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
BACA JUGA Baju Raya Rahmah kualiti premium masih mahal?