PMX buat kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier di kediaman rasminya, Istana Bellevue, di Berlin hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan tiba pada jam 2 petang dan sebaik tiba beliau disambut oleh Steinmeier.

Anwar turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Perdana Menteri kemudian menandatangani buku tamu Istana Bellevue sebelum mengadakan pertemuan peribadi dengan Steinmeyer.

Pada Februari tahun lalu, Steinmeyer ketika melawat Malaysia berkata, Malaysia akan menjadi destinasi utama bagi syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan mereka.

Jelasnya, terdapat lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia mewujudkan 65,000 pekerjaan.

Perdana Menteri turut dijadual bertemu dengan Canselor Jerman Olaf Scholz lewat hari ini.

Anwar akan diberikan majlis sambutan rasmi di Canselori Persekutuan sebelum kedua-duanya memulakan mesyuarat.

Kedua-duanya dijangka mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengadakan sidang media bersama media Malaysia dan Jerman.

Anwar, dalam lawatan rasmi pertamanya ke Jerman dan Eropah sebagai Perdana Menteri, dijadual menghadiri beberapa siri program yang membabitkan pemimpin kerajaan Jerman, wakil perniagaan utama serta ketua industri.

Jerman telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia dalamkalangan ahli Kesatuan Eropah sejak 2000 manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman di Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.

BACA JUGA Kunjungan Anwar dapat liputan muka hadapan akhbar The Australian