Fahmi pernah dicemuh pertahan hak wartawan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan kerajaan tidak berkehendak untuk menyekat hak bersuara terutamanya kepada golongan wartawan dalam menjalankan tugas dan membuat laporan.

Beliau berkata demikian susulan pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu pada 20 Februari lalu.

Katanya, kebebasan media menjadi salah satu daripada teras utama yang perlu disokong, malah dimakmurkan lagi oleh semua pihak.

”Sepanjang memegang jawatan selaku menteri, tidak ada wartawan yang ditahan atau disoal siasat kerana menjalankan tugas mereka.

”Suatu ketika dulu, saya juga adalah antara ahli Parlimen yang pernah memperjuangkan nasib para wartawan.

“Saya pernah dicemuh dalam Dewan Rakyat yang mulia ini kerana mempertahankan hak wartawan dalam membuat pelaporan.

”Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini tidak ada seorang pun wartawan yang telah ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoal siasat setakat ini kerana membuat pelaporan atau menerbitkan fitnah yang menceritakan tentang skandal, tidak ada setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi (PH-Lembah Pantai) mengulas demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta jaminan kerajaan bagi memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia tidak mengekang mana-mana wartawan dalam menjalankan tugas mereka, termasuk dalam melaporkan atau membongkarkan sesuatu skandal.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH turut menjelaskan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia bukan satu kod etika yang baharu, sebaliknya penambahbaikan yang dibuat selari dengan perubahan industri media digital masa kini.

“Kod etika tersebut adalah penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia, yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Press Institute (MPI).

“Untuk makluman, Kod Etika Wartawan Malaysia ini akan diguna pakai oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarikbalikan Kad Perakuan Media (KPM) untuk pengamal media di negara ini,” jelas beliau lagi.

BACA JUGA MMM boleh pilih untuk guna kod etika wartawan sama