Hannah Yeoh wajar dicontohi, Yadim puji menteri berselendang di Australia

Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang nyata cakna dengan situasi semasa dan mengenakan selendang semasa bermesyuarat di Universiti Monash, minggu lalu mendapat pujian daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, sikap terpuji ahli Parlimen Segambut itu dalam memenuhi permintaan rakan-rakan Islam yang lain sepatutnya dicontohi.

Ini kerana katanya, ia menunjukkan sikap toleransi atas dasar semangat menghormati tanpa membelakangkan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.

Dalam konteks yang lebih luas, Yadim menyokong agar pakaian yang bercirikan kesopanan dapat diangkat menjadi sebahagian daripada kod etika berpakaian dan menjadi satu budaya yang patut dikekalkan oleh semua peringkat umur.

“Yadim turut memuji tindakan dan keputusan beliau dalam memilih untuk memberi keutamaan kepada ketepatan masa berbanding urusan pakaian, kerana tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri yang diawalkan masa sejurus selepas pertemuan di Al-Takwa College, Melbourne,” katanya dalam satu kenyataan  semalam

Hasanuddin berkata, masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama perlu melihat lebih objektif, berfikiran terbuka, menjauhi prasangka serta jangan cepat membuat kesimpulan dan hukuman dalam memberi komen terhadap insiden seperti itu.

Menurut beliau, pakaian tersebut tidak melambangkan mana-mana simbol keagamaan, tetapi merupakan lambang kepada kesopanan dan ketertiban serta hormat kepada sesuatu majlis yang merupakan cerminan keperibadian tertinggi rakyat Malaysia.

“Yadim juga melihat keputusan ini sebagai suatu yang terpuji dan perlu dicontohi dari sudut memberi keutamaan (aulawiyat) kepada satu perkara yang lebih besar iaitu menepati masa, menghormati tetamu dan janji temu.

“Oleh itu, kami juga berharap agar pada masa hadapan masyarakat Malaysia akan lebih jelas dalam isu seperti ini supaya dapat membezakan antara keperluan menjaga hubungan dan menghormati masa dengan kepercayaan serta pegangan agama,” ujarnya.

“Yadim menggesa supaya berpakaian sopan di khalayak ramai hendaklah menjadi amalan bersama, bukan hanya dalam kalangan umat Islam bahkan seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Hannah tampil memberi penjelasan susulan penampilannya yang berselendang semasa mesyuarat bersama Universiti Monash sempena lawatan delegasi Perdana Menteri ke Melbourne, Australia pada minggu lalu menimbulkan kontroversi

BACA JUGA Lagu Teman Sejati nyanyian PN rupanya dicipta untuk Anwar