Isu buka kantin bulan puasa, PN-Pas ambil peluang menghasut
Oleh AHMAD MURSI
Menteri Pendidikan, Fadhlina menyebut kantin mesti dibuka dan murid mesti juga dididik untuk saling menghormati terutamanya di sekolah yang mempunyai murid bukan Islam.
Saya tidak nampak apa yang silap daripada kenyataan ini hingga ahli politik PN-Pas mengapi-apikan sentimen umat Islam.
Adakah mereka anggap, semua sekolah kebangsaan sama seperti di Pantai Timur yang pelajarnya hampir 100% Muslim?
Banyak sekolah yang mempunyai ramai pelajar bukan Islam di luar pantai timur apatah lagi di Sabah dan Sarawak.
Perlu diambil kira juga keperluan anak-anak kecil yang belum mampu berpuasa, pelajar yang datang bulan, pelajar pendidikan khas yang tidak wajib berpuasa (Syndrom down, autism dan lain-lain) . Jumlah mereka ini juga ramai.
Satu cabaran juga untuk ibu bapa dari kelompok pelajar ini menyediakan bekalan khususnya gerai makan tidak dibuka pada waktu pagi bulan Ramadan.
Takkanlah bila kantin dibuka untuk penuhi keperluan kelompok ini, terus dikatakan umat Islam telah tidak dihormati?
Sewaktu Mahiaddin menjadi Menteri Pendidikan, pernah berlaku insiden pelajar bukan Islam makan dalam bilik persalinan (yang awalnya disangka tandas) pada bulan Ramadan.
Sekolah Kebangsaan sepatutnya menjadi medium penting memupuk perpaduan dan sepatutnya dibuang imej yang dilihat hanya untuk keselesaan satu kaum apatah lagi dengan perkara-perkara kecil yang boleh ditoleransi.
Isu perpaduan ini antara perkara pertama dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Perpaduan masih tidak sempurna walaupun setelah 60 tahun merdeka.
Bagaimana hal ini boleh sempurna jika sewaktu kecil, hati masih bersih, kita dibesarkan secara berasingan tanpa berpeluang mengenali hati budi rakan-rakan kita dari pelbagai kaum?
Lalu apabila besar, mudahlah terpengaruh dengan propaganda politik murahan yang memainkan isu perkauman melampau yang menyemai rasa benci dan curiga antara kaum.
BACA JUGA Projek pembinaan kantin sekolah Kampung Awah dalam senarai