‘Pembangkang tak pernah bertaubat, asabiyah’

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ‘menyekolahkan’ pembangkang di Dewan Rakyat semalam apabila mereka kerap bertanya tentang isu Kampung Baru Cina.

Beliau berkata, setiap kali bersidang, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mesti membangkitkan isu berkenaan.

“Saya perhatikan sudah lima kali isu sama dibangkitkan oleh YB (Dr Ismail).. tak pernah bertaubat pun.. tiap-tiap sesi mesti soalan yang sama.

“Oleh kerana itu, saya harap esok (hari ini) bulan Ramadan, biarlah kali terakhir saya jawab dengan penuh tenang jiwa supaya tidak payah ulang,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja.

Dalam perbahasan sama, Kor Ming menyifatkan Melayu, Cina dan India patut bersatu sebagai sebuah keluarga.

Katanya, rencam kaum yang terdiri di negara ini adalah adik-beradik dan juga saudara-mara.

“Mengapa tiap-tiap hari siang dan malam saya tengok lagu yang sama, irama yang sama berkumandang?

“Sampai bila lagu sedemikian akan berhenti dimainkan?,” soal beliau.

Menurut Kor Ming, KPKT sentiasa terbuka kepada semua, termasuk pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencadangkan pencalonan bagi Tapak Warisan Dunia yang membawa faedah kepada negara.

Beliau berkata, jika terdapat permohonan daripada International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) Malaysia, pihaknya akan bersikap secara profesional.

“KPKT bersama dengan Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya agar membuat kaji selidik, kajian penelitian cadangan terlebih dahulu, memandangkan Kampung Baru Cina adalah di bawah seliaan KPKT.

“Saya harap rakan-rakan duduk di sebelah sana (blok pembangkang), termasuk YB Maran, pernah juga menjadi mantan timbalan menteri, mengapa selalu nak mempermainkan isu-isu sentimen kaum.

“Esok (hari ini) adalah bulan Ramadan yang suci.. redhalah.. ini adalah sikap asabiyah yang tidak harus diamalkan di dewan yang mulia ini,” tempelak beliau lagi.

BACA LAGI: Hannah Yeoh wajar dicontohi, Yadim puji menteri berselendang di Australia