Pencerobohan siber LPPKN: Ini pengesahan Nancy di Dewan Rakyat

Datuk Seri Nancy Shukri mengesahkan tiada maklumat peribadi pelanggan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dicuri dalam insiden pencerobohan siber pada 19 Februari lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, ‘folder’ yang diceroboh itu dinamakan PADU tetapi bukan merujuk kepada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di bawah Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata, PADU yang diceroboh itu merujuk kepada milik salah satu unit di LPPKN atau nama penuhnya, Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan.

“Selepas siasatan dilakukan, didapati tiada maklumat peribadi pelanggan LPPKN yang dikompromi.

“Namun, ‘folder’ yang diceroboh itu terhad kepada satu ‘folder’ yang dinamakan ‘PADU’ dalam pelayan storan awan.

“Fail dalam ‘folder’ itu hanya mengandungi maklumat tidak berstruktur berkaitan beberapa program anjuran LPPKN seperti gambar, video, poster dan slaid taklimat,” katanya.

Jelas Nancy, maklumat dalam ‘folder’ yang dinamakan PADU itu tidak mengandungi data berstruktur seperti data dalam PADU yang dibangunkan dengan kerjasama strategik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Digital Negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

BACA JUGA ‘Terima kasih kerana tidak menyemak fakta terlebih dulu’ – Rafizi