‘Pi la marah kontraktor, marah saya buat apa’

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir secara berseloroh menempelak sikap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung masalah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu.

“Projek LRA yang Persekutuan bagi geran kepada kamu jatuh sakit, tetapi saya pula makin diherdik kerana pertikai prestasi projek yang teruk?

“Saya dan pasukan beri perhatian khusus kerana projek ini kunci kepada permasalahan air di Kedah.

Pi la marah kontraktor, marah saya buat apa,” katanya di platform X sambil turut memuatkan video sedutan ucapan Sanusi dalam sidang DUN.

Menerusi klip itu, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah bertegas akan memerangi pihak yang dianggap memperlekeh negeri tersebut.

“Barangsiapa yang berhasrat, berhajat, bercita-cita untuk memperlekehkan negeri ini (Kedah), kami akan tentang habis-habisan,” katanya.

Sebelum ini, pembangkang mendakwa kononnya pembinaan LRA di Kedah lambat kerana Kerajaan Persekutuan tidak melayan permohonan menaikkan harga barang projek di bawah Variasi Harga (VOP) adalah tidak berasas.

Walau bagaimanapun, Akmal pada 4 Mac lalu di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa kerajaan Kedah tidak mengemukakan Notis Perubahan (NOC) kepada kementerian setelah berlaku kenaikan kos melangkaui harga siling projek itu.

Jelasnya, permohonan VOP sepatutnya adalah tanggungjawab kerajaan negeri Kedah dan perlu dikemukakan oleh mereka selaku agensi pelaksanaan projek terbabit.

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru memuji pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun atau mesra dipanggil Tok Min.

“Di Negeri Sembilan, MB Tok Min telah membawa saya periksa fasiliti bekalan air dan berbincang terkait cadangan penambahbaikan.

“Saya hargai langkah proaktif Kerajaan Negeri Negeri Sembilan untuk terus tingkatkan prestasi perkhidmatan air,” kata Akmal lagi.

BACA JUGA Masalah air di Kedah kronik – Akmal Nasir