Puasa: Pas tidak lekang suburkan semangat asabiyahnya

Meskipun hari ini bermulanya puasa sempena Ramadan, Pas tidak berhenti dari menyuburkan semangat asabiyahnya meskipun yang terkesan adalah kanak – kanak sekolah.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) mempertikaikan arahan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek agar kantin sekolah beroperasi seperti biasa.

“Mereka (pelajar bukan Islam) boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan.

“Ironinya, Dewan Ulama PAS Pusat melihat menteri sendiri gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan para pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata perkara itu boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka sepanjang bulan Ramadan.

“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan,” katanya lagi.

“Seharusnya kita memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khusus kepada pelajar yang beragama Islam.

“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” katanya.

Bagaimana Ahmad Yahya menjadi ketua Dewan Ulama Pas Pusat, wallahua’lam beeshawab.

Para pelajar di sekolah kebangsaan terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Bulan Ramadan bukan bulan yang diperuntukkan untuk bukan Islam berpuasa.

Ahmad Yahaya perlu faham kantin ADALAH ruang yang dibenarkan untuk para pelajar makan. Bukan tandas, tepi longkang dan sebagainya.

Pas yang sebenarnya beria-ia mencetuskan polemik.

Penutupan kantin tidak akan menimbulkan rasa hormat kepada amalan puasa mana-mana pihak. Itu paksaan. Hormat juga perlu diberikan oleh kedua-dua pihak. Ia bukan jalan sehala.

Mungkin sahaja Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat (DHPP) perlu memberi tarbiyah kepada Ahmad Yahaya bahawa masyarakat beragama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain juga mempunyai amalan berpuasa.

Yang membezakannya hanyalah puasa mereka lebih personal, antara mereka dengan Tuhan dan ia tidak dijadikan isu politik sepertimana yang dibuat Ahmad Yahaya.

Reaksi Ahmad Yahaya dan Pas terhadap isu hanya memperlihatkan semangat asabiyah yang tebal di dalam sanubari mereka.

BACA JUGA: Pembangkang tak pernah bertaubat, asabiyah

______________________________________________________

Nukilan di atas adalah pandangan penulis.